Saturday, October 30, 2010

Olahan Bahasa - Karangan

KATA-KATA HIKMAT YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM KARANGAN
 

01. Baik kaya adalah kaya hati, sebaik-baik bekal adalah takwa, seburuk-buruk buta adalah buta hati dan sebesar-besar dosa adalah berdusta
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.( Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. (Home)
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. “Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah al-Hajj:77)
06. “Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sahajalah tempat meminta pertolongan” (Surah Yusuf:18)
07. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
08. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. (Davey John Schwartz)
09. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
10. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
11. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
12. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
13. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. (Saidina Ali Abu Talib)
14. Sabda Rasulullah s.a.w: “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu.”
15. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
16. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (Surah Al-Baqarah:214)
17. Kekitaan yang erat tiada yang berat. 18. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
19. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
Kesihatan yang hilang boleh diperoleh dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
20. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
21. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

Rahsia Karangan SPM - Bukan lagi RAHSIA!

 Pernahkah anda fikir bentuk soalan yang bakal keluar dalam karangan anda? Tidak? Inilah rahsianya..... Soalan karangan SPM terbentuk melalui ruang lingkup yang terdapat di bawah:



Soalan
Ruang Lingkup atau Tema Soalan
1
Isu yang berkaitan diri pelajar atau remaja
2
Isu yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan, warga tua dan sebagainya.
3
Isu yang berkaitan dengan masyarakat dan persekitaran kita
4
Isu yang berkaitan dengan global atau serantau
5
Isu yang berkaitan dengan elemen KOMSAS

Apakah penting untuk mengetahui perkara ini? Mahu bertanya? Silakan.....

Sajak - Bahasa pelembut jiwa

Kata yang lembut,
Menyejuk hati yang membara,
Kerana hakikatnya,
Bahasa pelembut jiwa....

Kiranya kita bicara,
Lafazlah dengan sopan,
Memikat ribuan perasaan,
Hanya satu tutur yang santun,
Memecah ego yang keras itu...

Lantaran berujar,
Jangan ada biadab,
Ingatlah kalian dalam bernada,
Sehalus sutera bahasanya,
Sebagai pelembut jiwa,
Senantiasa.....

Kepentingan Hutan Simpan (Bahagian B)

Hutan yang terdapat di Malaysia dikatakan tertua di dunia. Salah satu langkah mengekalkan hutan tersebut ialah mengadakan sistem hutan simpan.

Salah satu daripada kepentingan mengadakan hutan simpan adalah untuk melestarikan habitat haiwan liar yang semakin terancam. Hal ini demikian kerana sistem hutan simpan membolehkan hutan-hutan yang ada tidak diterokai atau ditebang kerana dilindungi undang-undang.

Tambahan pula, kewujudan hutan simpan di Malaysia mampu menjadi pusat rekreasi dan riadah. Di samping mampu memupuk semangat cinta akan alam, kita dapat menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti lasak di hutan.

Seterusnya, keunikan hutan simpan dapat dijadikan aset penting dalam menggalakkan sektor pelancongan. Hutan-hutan simpan di Malaysia mampu menarik minat pelancong asing terutamanya untuk melihat ribuan spesies flora dan fauna yang terdapat di sini.

Konklusinya, hutan simpan di negara kita haruslah dikekalkan untuk tatapan generasi yang akan datang.

KOMSAS - Analisis Utama

Analisis Soalan Novel PMR 2002 – 2010

  • 2002 : Tema dan persoalan (Novel Tg.1/2/3)
  • 2003 : Watak dan perwatakan (watak utama) (Novel Tg. 1/2/3)
  • 2004 : Nilai; kerjasama, bertanggungjawab, kegigihan (Novel Tg.1/2/3)
  • 2005 : Latar; masa, tempat dan masyarakat (Novel Tg.1/2/3)
  • 2006 : 3 perbandingan watak utama dan sampingan (Novel Tg.3)
  • 2007 : Pengajaran ‘kita wajar tolong-menolong’ (Novel Tg.2 & 3)
  • 2008 : 3 latar tempat (Novel Tg. 3)
  • 2009 : 3 persoalan (Tg 1, 2 dan 3)
  • 2010 : Nilai kasih sayang (Tg 1, 2 dan 3)
  • 2011 : .......................
Nota buat pelajar:
Dalam bahagian ini, anda perlu memahami konteks dan pengisian novel yang ada pelajari sepanjang 3 tahun pengajian anda. Analisis menunjukkan hanya tiga jenis soalan novel yang keluar dalam peperiksaan PMR bahasa Malaysia kertas 2 sejak 2002 hingga 2010. Tiga jenis soalan ini ialah :

1.      Tema, nilai, persoalan dan pengajaran.
2.      Latar masa, tempat dan masyarakat.
3.      Watak dan perwatakan novel (utama dan sampingan)

Panduan Bahagian A

Merumuskan Petikan
 
Tips dalam meringkaskan karangan

1. Pelajar tidak boleh menyatakan pendapat ataupun pandangan sebaliknya hanya perlu menyatakan isi bedasarkan kehendak soalan.
2. TIDAK BOLEH menyalin bulat-bulat ataupun memotong-motong ayat dan mencantumkannya menjadi satu ayat dalam ringkasan.
3. Ringkasan bermaksud menulis ISI PENTING berdasarkan soalan.
4. Tulis hanya SATU ISI dalam SATU AYAT.
5. Ayat-ayat yang dibina harus ringkas, tepat dan padat.
6. Gunakan gaya bahasa sendiri tetapi tidak mengubah maksud asal petikan.
7. Gunakan penanda wacana yang ringkas dan tepat bagi menhubungkaitkan isi dengan isi dan ayat dengan ayat.Contohnya, (namun,walau bagaimanapun, justeru dan sebagainya)
8. Gantikan kata bilangan dengan penggandaan yang menunjukkan bilangan bagi menjimatkan jumlah perkataan.Contohnya, ‘para pelajar’(2 perkataan) ditulis sebagai ‘pelajar-pelajar’(1 perkataan)
9. Tulis ringkasan hanya dalam SATU PERENGGAN dalam jumlah perkataan yang dinyatakan dalam arahan.(TIDAK MELEBIHI daripada 80 patah perkataan.)

Contoh Soalan :

Baca petikan tersebut dengan teliti. Kemudian tulis satu ringkasan mengenai punca-punca tekanan dalam kehidupan. Panjang ringkasan anda tidak lebih 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal.

Penduduk dunia semakin tertekan! Perkara ini bukan lagi satu persoalan benar atau tidak tetapi lebih kepada perbandingan berapa teruk tahap tekanan atau stres yang dihadapi rakyat sesebuah negara. Tekanan di rumah, di tempat kerja, dan bermacam bentuk tekanan lain dilihat semakin bertambah di kala mencapai kemajuan dan kemodenan.

Agak mustahil bagi seseorang itu hidup tidak menghadapi tekanan kerana semua perkara dalam hidup seharian meninggalkan sedikit kesan kepada kemampuan menyesuaikan diri dengan bermacam keadaan yang dihadapi. Ketegangan jelas kelihatan di seluruh dunia kini akibat bermacam punca, dari bencana alam, peperangan sehinggalah kepada kos makanan.

Dunia menghadapi perubahan mendadak cuaca, terlalu panas atau terlalu sejuk, yang turut membawa bermacam bencana alam.Tidak cukup dengan perkara semula jadi, perbuatan manusia menambahkan lagi bebanan dengan bermacam krisis dan skandal. Pencemaran, krisis bekalan makanan, naik turun harga minyak dan keperluan asas (air, elektrik), harga barang melambung, skandal pencemaran produk makanan, krisis ekonomi dan kini peningkatan pengangguran.

Tidak cukup dengan itu, masih ada yang berselera berperang atau menghalalkan serangan terhadap penduduk awam. Sia-sia dan menyakitkan hati.

Melainkan peperangan, krisis dan skandal serupa turut melanda negara kita. Hasil bermacam cabaran yang perlu dihadapi kini, semakin banyak kejadian ‘tekanan melampau’ dapat dilihat dalam paparan berita. Gejalanya mudah dikesan, dari tindakan melepas geram di khalayak ramai, cara pemanduan di jalan raya, gaya pertuturan dan juga cara berkomunikasi, terutamanya di kaunter-kaunter perkhidmatan.

Bagaimanapun, perlu diingat rakyat Malaysia juga menghadapi tekanan tinggi dalam memahami dan menyesuaikan diri dengan bermacam perkara yang berlaku secara berturut-turut. Bersamalah kita kembalikan ketenangan dan keceriaan hidup, bukan hanya untuk diri dan keluarga, malahan untuk semua yang menggelar Malaysia ‘tanah tumpah darah’.

Pemahaman :

1. Berikan maksud rangkai kata krisis dan skandal?

2. Apakah gejala negatif yang dialami oleh manusia apabila mereka menghadapi tekanan?

3. Pada pendapat anda, bagaimanakah kita menghadapi tekanan-tekanan ini secara positif?